Popular Posts

Wednesday, 4 January 2017

Industri Pelancongan Di Malaysia



Huraikan dengan terperinci tentang Industri Pelancongan di Malaysia.

      i.        Apa itu industri pelancongan?

Pelancongan adalah satu sistem terbuka yang mempunyai hubungan dengan persekitaran yang luas dan juga dengan elemen-elemen manusia seperti pelancong, elemen kawasan iaitu kawasan pelancongan, elemen ekonomi seperti industri pelancongan dan elemen dinamik iaitu individu yang mengembara bagi tujuan berehat di luar tempat tinggal mereka.Perkataan pelancongan juga merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan perniagaan, dan ianya merangkumi subsektor yang berikut: penginapan, membeli-belah, produk pelancongan (iaitu ekopelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan), makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri (inbound) dan pengangkutan domestik. 


    ii.        Tahap pembangunan industri pelancongan

Industri pelancongan di Malaysia telah berkembang pesat sejak lebih tiga dekad yang lalu.  Kawasan pantai terutamanya menjadi tumpuan ramai pelancong walaupun banyak destinasi pelancongan lain yang telah dibangunkan.  Malah, kawasan pantai dijadikan sebagai daya tarikan utama industri pelancongan negara.  Selain itu, sektor pelancongan di negara merupakan penggerak kepada peningkatan ekonomi beberapa buah negara bahkan Malaysia sendiri.  Hal ini dapat dibuktikan apabila banyak negara-negara maju mula bergerak dalam memajukan industri pelancongan di Negara mereka untuk tukaran wang asing yang lumayan. 
Banyak kawasan-kawasan semulajadi yang mempunyai keunikan tersendiri telah dibangunkan untuk tujuan pelancongan seperti meneroka hutan-hutan untuk dijadikan resort, hotel dan tempat penginapan bagi pengunjung yang mahukan suasana yang nyaman.  Secara tidak langsung lebih banyak tempat yang unik dibangunkan untuk memajukan industri pelancongan seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.Tahap pembangunan industri pelancongan di Malaysia amat membanggakan.  Tambahan pula dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan seperti kemudahan infrastruktur dan juga kemudahan rekreasi dapat memberi keselesaan kepada pelancong yang datang. 
Namun demikian, pembangunan industri pelancongan memerlukan perancangan yang komprehensif untuk terus maju.  Hal ini kerana, untuk mengelakkan perkara negatif berlaku seperti kawasan pelancongan yang dalam proses untuk dibangunkan tidak mendatangkan keuntungan disebabkan beberapa perkara yang tidak diambil kira ketika merancang untuk memajukannya.  Kos yang digunakan untuk membangunkan sesebuah kawasan supaya dijadikan tarikan pelancong tempatan mahupun domestik amat tinggi.  Justeru, badan kerajaan dan juga swasta harus merancang dengan teliti demi kebaikan bersama.
Selain itu, perancangan untuk membangunkan industri pelancongan perlulah berdasarkan permintaan terkini.  Industri pelancongan telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara sejak 30 tahun yang lalu, terutamanya dari segi sumbangan kepada pendapatan tukaran asing dan pewujudan peluang pekerjaan. Sektor pelancongan di negara ini telah berubah daripada pelancongan berorientasi domestik dan wilayah serantau pada tahun 1970an kepada pelancongan secara besar-besaran pada tahun 1980an.  Penekanan telah diberikan kepada perancangan membangunkan produk khusus untuk meningkatkan jumlah pelancong yang berpotensi untuk berbelanja tinggi serta menarik pelancong yang datang dari negara yang jauh.
Sektor swasta digalakkan untuk mempromosikan industri pelancongan dengan cara membangunkan produk pelancongan bagi memenuhi permintaan pasaran.  Manakala badan kerajaan turut menyokong usaha yang mereka lakukan dengan menyediakan infrastruktur dan pelbagai kemudahan.  Penambahbaikan sumber sedia ada supaya lebih menarik, berkualiti dapat dicapai menerusi usaha-usaha yang dijalankan oleh sektor swasta dan juga badan kerajaan.
Dua dana yang dikhususkan untuk industri pelancongan telah ditubuhkan sebagai langkah untuk menggalakkan sektor swasta supaya membangunkan industri pelancongan.  Dana tersebut adalah Tabung Infrastruktur Pelancongan dan Tabung Pelancongan PKS.  Tujuannya adalah untuk meningkatkan permintaan bagi pembiayaan mudah projek pelancongan baru dan melakukan penambahbaikan serta memperluas infrastruktur serta kemudahan pelancongan sedia ada.
Program Inap Desa dan Kelab Pelancongan Pelajar yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah untuk meningkatkan penyertaan penduduk tempatan dalam aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan.  Pada tahun 2002, Program Silver Hair telah digantikan dengan Program Malaysia Rumah KeduaKu (MM2H) bagi menggalak dan melanjutkan tempoh penginapan pelancong asing di negara ini.  Bagi menambah baik perkhidmatan agensi barisan hadapan industri ini, Kerajaan telah mengadakan kursus seperti ‘Think Tourism’, ‘Eco-Host’ dan ‘Mesra Malaysia’.





   iii.        Rujukan kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap pembangunan ekonomi negara

Industri pelancongan bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kepada pelancong malah menjadi penyumbang peluang pekerjaan yang penting bagi sesebuah negara yang sedang membangun.  Pembangunan kawasan pelancongan membantu penduduk tempatan untuk menjana pendapatan dan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup mereka.  Tenaga penduduk setempat amat membantu kelancaran sesebuah kawasan pelancongan tersebut.  Tambahan pula, industri pelancongan banyak menawarkan pekerjaan dari pelbagai bidang dan banyak peluang pekerjaan mahir dan tidak mahir dapat diwujudkan.
Di samping itu, peluang pekerjaan tidak terhad kepada sektor perhotelan sahaja tetapi banyak peluang pekerjaan untuk bekerja di restoran, menjadi pemandu pelancong, terlibat dengan aktiviti pengangkutan, bekerja dengan agensi pelancongan, industri kraftangan dan lain-lain.Disebabkan kemajuan dalam industri pelancongan semakin berkembang, permintaan tenaga kerja dalam sektor perhotelan telah meningkat daripada 5,200 orang dalam tahun 1970 kepada 30,300 orang dalam tahun 1985 malah pendapatan tukaran asing yang diperolehi melalui industri pelancongan telah meningkat tiga kali ganda dalam jangka masa 1975-1985 iaitu daripada $389.5 juta pada tahun 1975 kepada $1412.4 juta pada tahun 1985. 
Oleh yang demikian, industri pelancongan kini menjadi salah satu faktor terpenting sebagai sumber tukaran asing (Berita Harian, 1986).Sektor perkhidmatan yang juga merupakan sektor pelancongan telah memberi sumbangan tertinggi kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan diramal terus meningkat selari dengan kebanyakan negara maju.
Justeru, rakyat Malaysia seharusnya diingatkan bahawa sebuah negara perkhidmatan adalah sama dengan sebuah negara maju.  Asas-asas keperluan industri hendaklah dipupuk dari awal.  Pada tahun 2015, pelancong asing yang datang ke Malaysia diramalkan berjumlah 29.4 juta orang berbanding bilangan pelancong asing yang datang pada tahun 2014.  Kedatangan mereka dijangka meningkatkan hasil negara sehingga mencecah RM89 bilion, iaitu RM17 bilion melebihi hasil tahun 2014.
Setiap golongan masyarakat harus bertindak menjadi tuan rumah untuk menerima kunjungan pelancong-pelancong yang akan tiba sebagai cara untuk mengalu-alukan kehadiran mereka.  Perkara yang mendorong pelancong asing untuk datang melancong ke Malaysia adalah termasuk membeli-belah atau mereka ingin menikmati kecantikan alam semula jadi.  Status Malaysia yang merupakan salah satu destinasi membeli-belah yang utama di dunia telah kerana nilai ringgit yang rendah telah menyebabkan barangan tempatan bertambah kompetitif.
Ada juga pelancong yang datang ke Malaysia untuk menikmati keindahan tropika di samping melarikan diri dari kesejukan terutamanya pelancong dari hemisfera utara.  Nilai ringgit yang rendah perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk memperoleh keuntungan jangka panjang.  Kita tidak seharusnya mengambil kesempatan ke atas pelancong asing semata-mata ingin mengaut keuntungan berlebihan.  Sebaliknya, kita perlu berusaha menggalakkan mereka kembali melawat Malaysia atau mengharapkan mereka mempromosikan Malaysia di luar negara. 
Kunci kepada sumber pertumbuhan ekonomi yang kukuh adalah dengan berusaha meningkatkan keuntungan dari pelbagai sektor.  Pelancongan domestik di antara Sabah, Sarawak dan semenanjung perlu dipromosikan kerana pelancongan domestik ini bukan sahaja mampun menjana pendapatan negara bahkan menyumbang kepada integrasi nasional dan meningkatkan perasaan cintakan negara.
Mungkin usaha ini boleh digalakkan sebagai aktiviti sekolah mengambil faedah dari kewujudan syarikat penerbangan tambang murah yang sedia ada.  Musim cuti sekolah begitu sinonim dengan percutian keluarga.  Ada yang melancong keluar negara, namun majoritinya adalah merupakan pelancongan domestik.  Nilai ringgit yang lemah membuatkan pelancongan domestik lebih menarik untuk rakyat Malaysia.  Penduduk Semenanjung perlu mengambil inisiatif untuk meneroka Sabah dan Sarawak, dan juga sebaliknya, bukan sahaja untuk melihat kecantikan alam semula jadi tetapi juga untuk mengenali negara dan kekayaan budaya kita.  
Setiap ringgit yang dibelanjakan di dalam negara akan memberi kesan pengganda yang maksimum terhadap ekonomi negara melalui rantaian aktiviti-aktiviti ekonomi.  Ini bermakna seringgit yang dibelanjakan menyumbangkan lebih dari seringgit terhadap KDNK.  Sebaliknya, perbelanjaan melancong keluar negara merupakan ketirisan terhadap KDNK.  Jumlah perbelanjaan melancong keluar negara yang besar akan mengimbangi perbelanjaan pelancong luar yang mengunjungi Malaysia. 
Demi mendapatkan kesan bersih yang maksimum daripada sumbangan sektor pelancongan terhadap ekonomi hasil dari penurunan nilai ringgit, pelancongan domestic perlu ditingkatkan untuk mengambil alih pelancongan keluar negara di samping berusaha meningkatkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia.  Perkara ini membolehkan industri pelancongan kekal sebagai penggerak utama pertumbuhan sektor perkhidmatan.
Aktiviti promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM)yang dibuat pada tahun 2007 adalah mantap dan dijangka akan terus melonjakkan prestasi sektor pelancongan.  Dalam tempoh enam bulan pertama, ketibaan pelancong bertambah 24.8% kepada 10.7 juta (Januari-Jun 2006: 4.9%; 8.6 juta), membolehkan Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 20.1 juta pada tahun 2007 dengan jumlah pendapatan sebanyak RM44.5 bilion (2006: 17.5 juta; RM38.2 bilion). Jumlah pelancong tertinggi dari Januari hingga Jun 2007 ialah dari Singapura (5.3 juta), Indonesia (910,388) dan Thailand (817,550). 
Industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) merupakan segmen yang semakin membangun bagi sektor pelancongan yang mana menyumbang sekurang-kurangnya 10.0% jumlah ketibaan pelancong di negara ini. Pada tahun 2007, sejumlah 8,375 acara MICE antarabangsa telah dirancang, melibatkan lebih daripada dua juta delegasi asing dengan pendapatan dijangka mencapai RM4.5 bilion atau pertumbuhan sebanyak 73.8% (2006: 3,148 acara; 820,243 delegasi asing; RM2.6 bilion; 12.8%). Sejajar dengan usaha menggalakkan rakyat asing menetap lebih lama di Malaysia, Kerajaan akan meneruskan usaha bagi mengukuh dan mempromosi program Malaysia Rumah KeduaKu (MM2H) secara aktif.  Sejak pelancarannya pada tahun 1996 hingga akhir 2006, program ini telah berjaya menarik 9,551 peserta asing yang mana 2,021 adalah dari China, Bangladesh (1,429) dan Britain (1,049). Dalam tempoh Januari hingga Julai 2007, program ini telah berjaya menarik 940 peserta dengan bilangan tertinggi dari Britain (146), diikuti oleh Jepun (123), Bangladesh (112), Korea Selatan (111) dan China (52).


   iv.        Halangan / cabaran industri pelancongan

Malaysia mempunyai banyak produk pelancongan yang berkaitan dengan alam semula jadi yang unik dan bertaraf dunia.  Tidak kurang juga, ramai pelancong yang memfokuskan kepada produk alam semula jadi, seperti pantai, hutan dan sebagainya.  Namun tidak kurang juga sebahagian dari produk tersebut telah dicemari oleh manusia, sama ada dirosakkan atau dikotori.  Sudah tentu, keadaan sebegini memberi pengalaman yang tidak enak untuk pengunjung di sebalik anugerah semula jadi yang menakjubkan.  
Secara umum, faktor-faktor negatif yang berkaitan dengan sikap manusia tersebut memberi kesan sampingan yang buruk kepada industri pelancongan, terutama untuk jangka masa panjang.  Ianya memberi publisiti negatif untuk negara dan boleh memberi kesan terhadap jumlah pelancong untuk masa hadapan yang mungkin akan terjejas.  Dalam pada itu, pencemaran alam sekitar dan kerosakan boleh menyumbang kepada kos sosial yang tinggi dan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.
Tindakan segara harus diambil untuk menangani masalah ini oleh penggiat industri pelancongan malah perlu diambil perhatian oleh semua masyaraka umum.  Sikap-sikap positif yang menjadi teladan masyarakat harus dibudayakan dengan lebih banyak supaya amalan menjaga kebersihan persekitaran, memberi layanan yang baik kepada tetamu dan sebagainya terus diamalkan.
Dengan mengamalkan sikap-sikap positif tersebut, ianya mampu mengurangkan kos sosial.  Seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.Segalanya harus bermula dari peringkat individu dan tidak perlu melibatkan perubahan dasar kerajaan dengan perbelanjaan yang besar.
Pada masa ini, sektor pelancongan menggaji kira-kira 14 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara. Walaubagaimanapun, purata gaji dalam sektor pelancongan secara amnya adalah rendah berbanding dengan sektor ekonomi utama yang dalam negara. Sebagai contoh, warga Malaysia yang bekerja di hotel dan restoran menerima gaji purata RM1,084 sebulan berbanding dengan RM2,114 dalam sektor perkhidmatan kewangan, dan RM2,621 dalam sektor minyak, gas dan tenaga.
Malaysia juga menghadapi isu pengaliran keluar tenaga mahir di mana penduduk tempatan lebih tertarik untuk bekerja di negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Macau yang menawarkan prospek pendapatan yang lebih baik. Misalnya, pembukaan resort bersepadu di Singapura telah menarik minat sejumlah besar warga Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan di sana.



            Sistem sokongan oleh pihak kerajaan dan swasta yang ditawarkan untuk pembangunan industri pelancongan

Peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 137,128 pada tahun 2011, dari 24,714,324 orang kepada 24,577,196 orang pada tahun 2010 telah menyebabkan kerajaan menjalankan pelbagai rancangan untuk merangsang kemampanan sektor pelancongan.  Negara juga sedang berusaha mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Kerajaan telah mengenal pasti program yang akan membantu mencapai sasaran iaitu program inap desa.  Program ini dijalankan untuk menarik minat masyarakat luar bandar untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan usaha meningkatkan sektor pelancongan.  Di samping itu, penglibatan masyarakat luar bandar dalam program ini dapat membantu mereka meraih pendapatan tambahan sebanyak RM15.7 juata berbanding RM14 juta yang disasarkan pada tahun berkenaan.
Mereka yang terlibat dalam usaha kerajaan ini berjaya memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada sebelum ini serta membantu menambahkan lagi aktiviti ekonomi penduduk kampung.  Program Inap Desa bukan sahaja untuk dijadikan tempat penginapan pelancong malah ianya juga boleh dijadikan tarikan kepada pelancong asing untuk melihat gaya hidup masyarakat Malaysia yang kaya dengan budaya.
Selain menjalankan program Inap Desa, kerajaan juga menjadikan Malaysia sebagai pusat membeli-belah yang utama di dunia.  Kewujudan pusat membeli-belah yang terkenal dan moden di negara ini menjadikannya sebagai salah satu tarikan dan mendapat tempat dalam kalangan komuniti pelancong antarabangsa yang mana buktinya dapat dilihat melalui jumlah yang dibelanjakan pada 2011.
Sebagai destinasi beli-belah bebas cukai dapat membantu mempromosikan Malaysia supaya lebih dikenali sebagai syurga beli-belah akan terus memperkukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi utama untuk dilawati, membeli-belah dan beristirehat.  Pembangunan sektor perlancongan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai bidang seperti peruncitan, makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan dan kraftangan. 
Kepelbagaian ekonomi dan aktiviti pelancongan seperti membangunkan lebih banyak hotel, mewujudkan spa untuk beristirehat serta mempertingkatkan kemudahan sedia ada adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk membangunkan sektor pelancongan.  Kementerian Pelancongan akan mempertingkatkan promosi dan kempen pemasaran melalui jenama global kita “Malaysia Truly Asia” dengan mengetengahkan pelbagai kemudahan untuk menggerakkan industri pelancongan.




   vi.        Langkah-langkah untuk mendorong dan membangunkan industri pelancongan

Pelbagai cara telah dilakukan untuk membangunkan industri pelancongan.  Antaranya ialah 12 Projek Permulaan (Entry Point Project atau EPP) yang merangkumi lima tema telah dikenal pasti untuk meningkatkan pendapatan pelancongan negara. Kita juga telah mengenal pasti tiga peluang perniagaan yang bakal menjadi kenyataan berikutan jangkaan pertumbuhan industri pelancongan. Sebagaimana yang akan dijelaskan dalam 12 EP ini dan tiga peluang perniagaan bersama dengan pertumbuhan asas sektor akan merangsangkan peningkatan pertumbuhan industri pelancongan daripada PNK sebanyak RM36.9 bilion yang tercatat pada masa ini kepada PNK sebanyak RM103.6 bilion menjelang 2020. 
Sumbangan PNK sebanyak RM103.6 bilion merangkumi PNK sebanyak RM9.7 bilion daripada kesan penggandaan yang dijana oleh EPP sektor yang lain. Sumber terbesar kesan penggandaan ini ialah daripada NKEA yang termasuk Elektrik dan Elektronik serta Minyak Sawit. Adalah dijangka golongan profesional yang bekerja di Malaysia dalam NKEA tersebut akan membawa manfaat yang akan merangsangkan industri restoran, perhotelan dan sektor pelancongan yang lebih luas.
Dua belas projek permulaan (EPP) tersebut merangkumi lima tema luas yang memenuhi keperluan pelbagai segmen pelancong, iaitu dari penggemar membeli-belah hinggalah kepada pencinta alam semula jadi, pengembara perniagaan dan juga percutian seisi keluarga.
Tema pertama iaitu barangan mewah mampu milik di mana menempatkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah bebas cukai bagi barangan pelancongan, menjadikan kawasan Kuala Lumpur City Centre -  Bukit Bintang sebagai present membeli-belah yang meriah dan membuka tiga ruang perniagaan premium baharu di Malaysia.
Manakala tema yang kedua iaitu kembara alam semula jadi merangkumi memartabatkan Malaysia sebagai hab diodiversiti global.  Tema ketiga iaitu keseronokan seisi keluarga adalah dengan membangunkan resort bersepadu eko-semula jadi di Sabah dan mewujudkan Straits Riviera.  Tema keempat iaitu acara, hiburan, spa dan sukan menyasarkan lebih banyak acara antarabangsa, dan mewujudkan zon hiburan khas, membangunkan kepakaran tempatan dan mengawal selia industri spa dengan lebih baik serta meluaskan tawaran pelancongan sukan di Malaysia tanpa hanya terbatas pada penganjuran acara.
Tema kelima yang merangkumi pelancongan perniagaan dengan memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perniagaan yang terutama, meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran jarak sederhana yang penting dan menambah baik kadar, jenis, dan kualiti hotel.  Kelima-lima tema dan 12 EPP ini dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan ke arah yang lebih baik.


KESIMPULAN
            Tahap pembangunan industri pelancongan di Malaysia berada di tahap yang membanggakan.  Usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan mahupun swasta mula membuahkan hasil dan berjaya menjadikan Malaysia sebagai salah satu kawasan pelancongan yang dikenali ramai.  Selain itu, industri pelancongan juga mencatatkan keutungan yang tinggi sepanjang tahun.  Walaupun Malaysia kini semakin dikenali, pihak kerajaan tidak berhenti berusaha untuk menaikkan lagi industri pelancongan.  Cabaran serta halangan yang datang semasa tempoh membangunkan industri pelancongan di Malaysia telah berjaya diatasi dengan jayanya serta dijadikan contoh untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.  Justeru, masyarakat harus bekerjasama dalam membantu segala usaha yang bakal dilakukan demi kepentingan semua pihak.



Diantara tempat-tempat menarik di Malaysia antaranya ialah:-


Gunung Kinabalu, Sabah
Pulau Redang, Terengganu

Sky Bridge, Langkawi

A’Famosa, Melaka

dd


RUJUKAN
            Asas Keusahawanan.  (2000).  Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC).

Norma Azuli Mohd Nor et al., (2012).  Perjalanan dan Impaknya terhadap Ekonomi Malaysia daripada Pelawat Domestik.

Jamaluddin, M. J. (2009).  Pembangunan Pelancongan dan Impaknya terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai.  Malaysian Journal of Environmental Management.

Zulkiply, O.  (2016). Sumbangan Sektor Pelancongan terhadap Ekonomi.





1 comment:

  1. Jangan takut untuk MENCOBA tapi takutlah saat rezeki sudah hilang dari kita..Temukan segala macam kenyamanan, kemudahan dan keamanan chip anda bersama kami situs poker online terpercaya Jagodomino, Coba keberuntungan kamu bermain di Jagodomino, minimal deposit / withdraw Rp 15.000 , Bisa Memainkannya via Android / Iphone / Ipad.

    Info lebih lanjut silahkan hubungi CS 24/7 melalui :
    * LIVECHAT Jago188(dot)net
    * PIN BBM : 2AF6F43D
    * WA : +855717086677
    * LINE : Jagodomino

    Salam Sukses Jagodomino

    ReplyDelete