Popular Posts

Friday 30 December 2016

PERNIAGAAN BITTER SWEET BAKERI





PENGENALAN

Minat terhadap dunia perniagaan tidak pernah padam dalam diri wanita ini. Pn.Athirah Zahar  menyimpan impian untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya pada masa akan dating.

Berpegang kepada prinsip berusaha gigih, Puan Athirah yang mesra dengan sapaan Athi  di kalangan warga Teluk Intan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang datang ke kedai kek beliau.  

Dalam kesibukan menguruskan kedai kek tersebut, wanita ini masih sempat mencuri masa mengikuti kelas membuat dan menghias kek setiap hari Jumaat ketika waktu rehat. Baginya, di mana ada kemahuan pasti ada jalan.

Beliau berpijak di bumi nyata, untuk menjadi usahawan kek yang berjaya beliau harus mempunyai kemahiran dan modal yang mencukupi. Menyedari perkara ini, beliau gigih mengikuti kelas tersebut. Walaupun hanya belajar sejam seminggu, ilmu dan pengalaman yang diperoleh dimanfaatkan sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha Puan Athirah membuahkan hasil yang memuaskan.

Ditanya mengapa bidang pastri dan bakeri yang menjadi pilihan, Puan Athirah mengatakan sejak dulu dia memang bercita-cita menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan makanan. Menurut Puan.Athirah, beliau ingin  mengusahakan restoran namun memikirkan kekangan masa, modal dan anak-anak yang masih kecil, Puan Athirah memilih perusahaan kek untuk dikembangkan.

Ternyata keputusan ini amat bertepatan kerana tidak terdapat banyak kedai kek yang diusahakan sendiri oleh orang Islam. Puan Athirah yakin bidang ini mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang maju. Berbekalkan ilmu dan pengalaman, Puan Athirah menghasilkan kek dan menjual secara kecil- kecilan kepada sanak saudara dan kenalan pada ketika dahulu. Beliau berasa gembira apabila air tangan sendiri mendapat sambutan menggalakkan.

Mulai pada masa itu, beliau bertekad untuk mengembangkan perniagaan kek yang diceburi. Walaupun ada kalanya berasa penat , beliau tetap kuatkan semangat bersengkang mata menyiapkan tempahan sehingga lewat malam. Beliau amat gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan kek yang dihasilkan.



PERMULAAN PERNIAGAAN


Pn.Athirah mempunyai pengalaman di dalam bidang ini selama 3 tahun. Bermula pada tahun 2009 beliau menyambung pelajaran di dalam bidang bakeri. Beliau menimba ilmu selama lebih kurang 3 tahun pengalaman di Kolej Komuniti Teluk Intan.


Bermula secara kecil-kecilan daripada rumah, beliau  membuat roti-roti dan menjualnya di kedai-kedai makan dan apabila mendapat sambutan yang menggalakkan , beliau terus bertekad untuk membuka kedai sendiri .Kekangan modal telah menghadkan Puan Athirah  untuk memiliki premis perniagaan sendiri. Oleh sebab itu, ibu kepada dua cahaya mata ini berniaga secara kecil-kecilan dari rumah selama satu tahun. Sambutan memberangsangkan diterima membuatkan Puan Athirah tekad untuk memiliki kedai sendiri.


Agak sukar pada masa itu untuk meneruskan perniagaan bakeri ini kerana sokongan daripada suami kurang memberangsangkan kerana suami beliau berpendapat perniagaan perlu hadapi risiko yang amat tinggi.


Tidak semudah yang disangka untuk meneruskan perniagaan ini tanpa sokongan sepenuhnya ahli keluarga kerana mereka beranggapan terlalu banyak pesaing dalam bidang ini.. Beliau menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM 20, 000 untuk dijadikan modal permulaan.


Pada  awal tahun 2012 beliau telah berjaya membuka kedai kek sendiri yang terletak di Bandar Baru Teluk Intan, Perak  . Beliau tidak hanya tertumpu kepada kek malah menghasilkan pelbagai jenis roti dan biskut. Akhirnya suami dan keluarga memberi sokongan sepenuhnya kepada beliau apabila beliau berjaya memiliki premis perniaaan sendiri walaupun pada masa itu beliau hanya menyewa kedai tersebut,  


Sebulan sebelum pembukaan kedai, beliau dan suami bersama-sama mengedar risalah pembukaan kedai tersebut. Pada hari pembukaan, beliau memberi pelanggan menikmati produk yang dihasilkan sendiri oleh beliau dan pekerja yang juga merupakan rakan sekelas semasa beliau belajar dahulu..


Reaksi yang diberikan sangat positif, dan beliau berasa amat gembira dengan sambutan yang diterima. Puan Athirah bersyukur, kedai yang dahulunya beroperasi dengan menggunakan hanya sebuah peti ais, ketuhar dan meja bersama seorang juruwang telah berkembang.


Puan Athirah beranggapan bahawa setiap dugaan dan rintangan yang dihadapi dalam mengusahakan sesebuah perniagaan adalah merupakan asam garam rencah perniagaan. Setiap dugaan itu merupakan satu pengorbanan yang harus dibayar untuk mencapai satu kejayaan di masa hadapan. Setiap pandangan dan kritikan sinis orang sekeliling dijadikan semangat untuk beliau terus maju pada masa akan datang.


Puan Athirah juga berjaya harungi onak duri berkata doa dan usaha ahli keluarga dan rakan seperjuangan.



OBJEKTIF PERNIAGAAN BITTER SWEET BAKERI


Tujuan utama yang mendorong Pn.Athirah berkecimpung dalam perniagaan Kedai Kek adalah untuk mendapat keuntungan yang lumayan serta dapat memberi kepuasan dan pilihan kepada pelanggan setempat.


Selain itu objektif utama juga adalah bagi memberi kepuasan kepada pelanggan beragama Islam menikmati produk  makanan yang dibuat sendiri tanpa rasa was-was dan ragu-ragu.



TUJUAN PENUBUHAN BITTER SWEET BAKERI


1. Tujuan kedai bakeri Pn.Athirah dibuka adalah kerana ingin memberi satu perkhidmatan penjualan kek, roti dan biskut dengan memberi perkhidmatan yang berkualiti, suci dan halal kepada pelanggan terutama yang beragama Islam.


2. Pn.Athirah juga ingin mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan-pelanggan beliau.              


3. Dalam masa yag sama juga, beliau merancang perlaksanaan projek membuka      lebih dari  satu cawangan kedai kek di Ibu kota Kuala Lumpur.


4. Beliau juga berhasrat untuk membuat pembiayaan bagi menambah premis perniagaan dan mengumpul modal bagi mempelbagaikan lagi roti-roti dan kek di kedai bakeri beliau.


5. Beliau juga berhasrat untuk membeli mesin membuat roti dan kek bagi memperbanyakkan kuantiti setiap bancuhan roti dan kek yang ingin dibuat


RANCANGAN PEMASARAN



1. Perkhidmatan yang ditawarkan juga merangkumi perkhidmatan kek perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan sebagainya.



2. Keutamaan perkhidmatan ialah kepada penduduk disekitar Pekan Teluk Intan, Sabak Bernam dan Tapah . Oleh kerana ‘Bitter Sweet Bakery" ini adalah satu-satunya kedai kek melayu yang terdapat dikawasan ini. Diharap ia akan menjadi tumpuan kepada seluruh penduduk disekitar kawasan ini. Ia juga merupakan satu kelebihan kerana kita tidak perlu berasa was-was tentang halal dan haramnya .



3. Pembelian adalah secara tunai.

4. Perkhidmatan bermula dari pukul 10.00 pagi sehingga 7.00 malam

5. Segala kualiti dikawal dan dijamin akan memberi kepuasan kepada setiap pelanggan yang datang mengunjungi ke kedai beliau



STRATEGI PERKHIDMATAN BITTER SWEET BAKERI

 - Puan.Athirah akan memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan setiap masa.

 - Beliau juga bersedia menerima tempahan dan menepati tempoh masa seperti yang diminta oleh pelanggan.

 - Kek, pastry dan biskut di buat dengan reka bentuk yang menarik dan rasa yang lazat

 - Harga yang dikenakan adalah sangat berpatutan dan mengikut kemampuan pelanggan.



STRATEGI PEMASARAN BITTER SWEET BAKERI



v  Puan.Athirah mewujudkan akaun Instagram bagi tujuan promosi kedai bakeri beliau.


v  Beliau juga meletakkan banner di tepi jalan di Pekan Teluk Intan dan kawasan-kawasan yang strategik.


v  Beliau juga mempromosikan secara online dan memperluaskan pasaran semaksima yang mungkin mengikut permintaan perlanggan.


v  Untuk keselesaan pelanggan ruang makan di sediakan makanan HOT, FRESH FROM THE OVEN.


v  Memberi tumpuan terhadap penduduk- penduduk Teluk Intan, Sabak Bernam dan Tapah



PROMOSI BITTER SWEET BAKERI



ü  Memberi sample biskut untuk diuji rasa kepada pelanggan secara percuma.


ü  Mengedarkan pamplet ke rumah-rumah, kesekolah-sekolah dan kedai-kedai berhampiran dan tempat orang ramai berhimpun.


ü  Menjual dengan harga yang berpatutan.


ü Memberi diskaun kepada pelanggan yang mempunyai kad Ahli.


ü  Memberi diskaun kepada pelanggan pada hari-hari tertentu seperti Hari Lahir Pelanggan.


ü  Memberi diskuan bagi pebelian kek yang kedua


LOKASI


PROGRAM KLINIK BERSAMA SI CILIK









Wednesday 30 November 2016

Usahawan – Pusat Pencucian Kereta




Pengenalan

Dalam subjek Asas Keusahawanan ini, saya dikehendaki mencari seorang usahawan untuk ditemu ramah bagi menyiapkan tugasan yang diberi. Saya memilih untuk menemu ramah seorang usahawan yang membuka pusat perniagaan dan menawarkan perkhidmatan cucian kereta.

Dalam Modul Asas Keusahawan ada menerangkan berkenaan ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang yang membolehkan indvidu tersebut menghadapi dan mengenal pasti sesuatu peluang dan seterusnya merebut peluang tersebut. Ciri-ciri positif keusahawanan juga perlu dimiliki oleh individu yang berjaya dalam hidup dan sudah pastinya ada cabaran dan rintangan yang dihadapi bagi sesorang yang bergelar usahawan.


Latar Belakang Perniagaan Pencucian Kereta

AA Car Wash Services Centre (AACWSC) menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan mereka. AACWSC mahu menarik perhatian pelanggan dari segi kecekapan produk dan perkhidmatan mereka. AACWSC komited dengan misi dan visi dalam meningkatkan dan memperbaiki perkhidmatan, terutamanya dalam ekonomi masa kini. Objektif AACWSC adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan semasa dan masa hadapan.

AACWSC dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemuda keusahawanan iaitu Encik Ahmad Tumaidi Bin Nopenis dan rakan kongsi beliau Encik Mohamad Firdaus Hashim dengan modal permulaan sebanyak RM 50,000. Kedai ini di sewa lot tanah kerajaan dengan saiz 5,000 kaki persegi yang sesuai untuk kawasan cucian, kawasan pembersihan, pejabat, tandas, dan ruang menunggu untuk pelanggan.

AACWSC dikendalikan oleh 10 pekerja secara berpasukan dan diselia oleh dua orang pengurus, seorang penyelia dan tujuh orang pekerja perkhidmatan pencucian untuk mencapai visi dan misi syarikat mereka. Jumlah besar bajet pentadbiran bagi tahun pertama, iaitu pada bulan pertama iaitu sebanyak RM 46.788. Bajet ini akan berkurang pada bulan-bulan berikutnya. Ia juga lengkap dengan analisis SWOT untuk bersaing dan mengekalkan perkhidmatan mereka dari segi persaingan dalam organisasi secara sistematik dalam membantu usaha pemberian perkhidmatan pencucian kereta yang berkualiti  untuk mencapai tujuan, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun tujuan jangka masa panjang.


Inspirasi

Pada masa kini, masyarakat mahu berubah dalam kehidupan mereka. Mereka lebih cenderung untuk mengambil jalan mudah untuk melakukan sesuatu perkara. Jadi, ini adalah peluang yang diambil oleh Encik Ahmad Tumaidi dan Encik Mohamad Firdaus untuk membuka pusat pencucian kereta. Beliau percaya bahawa pusat perniagaan AACWSC akan maju pada masa hadapan.

Menurut Encik Ahmad Tumaidi, idea yang dicetuskan oleh beliau dan rakan kongsi beliau dalam mengatur strategi membina untuk memulakan perniagaan dalam perkhidmatan pencucian kereta perlu dilakukan dengan teliti. Mereka telah meneliti terlebih dahulu cara untuk menguasai ilmu revolusi pasaran dengan menggunakan teknik yang pelbagai dalam mempromosikan AACWSC untuk mendapat maklumbalas yang positif. Teknik pemasaran bukan semata-mata untuk tujuan pengiklanan, jika tersalah langkah akan membawa kepada kerugian. Mereka berdua amat berhati-hati dalam memulakan perniagaan tersebut kerana tidak mahu menyesal dikemudian hari.

Pada zaman yang seba moden, ramai yang tidak mempunyai masa untuk mencuci kereta sendiri. Idea demi idea yang dicetuskan oleh usahawan berjaya ini dengan lokasi yang strategik, gaya pemasaran yang pelbagai, memberi keselesaan kepada pelanggan, memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.


Keperluan Pasaran Bagi Produk dan Perkhidmatan

AA Car Wash Services Centre adalah sebuah syarikat perusahaan yang terletak di No 5, Jalan Pine 1, Taman Pine, 27000 Jerantut, Pahang di kawasan sewaan tanah di tengah-tengah bandar yang merupakan jalan utama yang mudah diakses dari Jerantut ke Temerloh atau dari Jerantut ke Kuala Lipis. Potensi target pelanggan yang disasarkan oleh AACWSC adalah di dalam dan di luar bandar.


Aspek Khusus Produk Atau Perkhidmatan

AACWSC adalah sebuah syarikat yang baru setahun memberikan perkhidmatan pencucian kereta di bandar Jerantut, ia juga menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan cucian dan pembersihan. Antara lain, AACWSC menyediakan televisyen dan surat khabar yang diletakkan di kawasan menunggu untuk mengelakkan pelanggan merasa bosan sementara menunggu kereta mereka siap dicuci.

AACWSC  menyediakan tujuh perkhidmatan yang berbeza kepada pelanggan iaitu:-
1.                   Pembersihan luaran dan dalaman.
2.                  Menggilap kereta  termasuk menggilap lampu dan cermin kereta.
3.                  Menggilap bahagian kerusi kereta.
4.                  Cucian enjin.
5.                  Cucian bahagian bawah kereta termasuk penyingkiran tar.
6.                  Cucian getah / permaidani kereta
7.                  Cucian motosikal dan superbike


Penerangan Produk Perkhidmatan

Jadual 1 menunjukkan maklumat produk dan harga barang yang digunakan untuk mencuci kereta:-

Jenis produk
Harga / Seunit
Jumlah Pengambilan
Jumlah Harga Pengambilan (RM)
Syampu Kereta
RM150 (per gelen)
1 gal
150.00
Pembersih Kotoran
RM50 (per 32oz)
2 botol
100.00
Nano Aquashield
RM150 (per galen)
1 gal
150.00
Pembersih Tayar
RM35 (per 32oz)
2 botol
70.00
Pembersih Cermin
RM20 (per 32oz)
2 botol
40.00
Crystal Car Polish & Wax
RM170 (per galen)
1 gal
170.00
Penggilap Kerusi (Kulit)
RM30 (per 32oz)
2 botol
60.00
Jumlah Keseluruhan (RM)
740.00

Kesemua produk yang digunakan dibeli dari pengedar iaitu Chemicals Sunshine and Machinery Sdn. Bhd. Encik Ahmad Tumaidi memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah melakukan kajian dalam pemilihan wakil jualan produk yang betul dan telah mendapat nasihat daripada rakan baik beliau sendiri yang juga merupakan seorang usahawan yang memiliki kedai pencucian kereta. Menurut rakan beliau Syarikat Chemicals Sunshine and Machinery Sdn. Bhd. menawarkan harga produk yang berpatutan serta mempunyai kualiti produk yang sangat baik berbanding syarikat lain.

Antara sebab mengapa AACWSC mengambil kuantiti produk dalam kadar yang sederhana adalah kerana perkhidmatan pencucian kereta masih baru di kawasan Jerantut. Selain itu, pengambilan stok secara berkala dapat menjimatkan wang disamping dapat menguruskan stok dengan baik. AACWSC juga tidak boleh meramalkan kadar pelanggan dalam masa satu hari kerana mungkin ada di antrara pelanggan mereka mempunyai tempat kegemaran sendiri mencuci kereta dari segi perkhidmatan dan lokasi.


Jadual 2 menunjukkan gambaran perkhidmatan dan kadar harga:-

Jenis-jenis perkhidmatan
Kadar Harga Mengikut Kenderaan
Cucian kereta (Luar)
RM 8.00 – RM 20.00
Cucian kereta (Dalam)
RM 10.00 – RM 30.00
Enjin
RM 8.00
Motor
RM 5.00 – RM 7.00
Cuci Kusyen
RM 100.00 – RM 180.00
Polish Lampu Depan
RM 20.00 – RM 40.00
Polish Cermin
RM 130.00 (1 Set)
RM 50.00 (Depan Sahaja)
Polish Body & Wax
- Kancil, Viva, Mini
RM 120.00 (1 Layer)
RM 170.00 (2 Layer)
Polish Body & Wax
- Kenari, Myvi, Waja, Wira, Lain-lain
RM 160.00 (1 Layer)
RM 190.00 2 Layer)
Polish Body & Wax
-Mpv
RM 200.00 (1 Layer)
RM 260.00 (2 Layer)


Jadual 3 menunjukkan harga berbeza bergantung kepada jenis kenderaan:-

Jenis Kenderaan
Luar
Dalam
Camry
RM 8.00
RM 11.00
Vios
RM 8.00
RM 11.00
Preve
RM 8.00
RM 11.00
Lancer
RM 8.00
RM 11.00
Myvi Kenari
RM 8.00
RM 11.00
Perdana
RM 8.00
RM 11.00
Persona
RM 8.00
RM 11.00
Wira
RM 8.00
RM 11.00
Waja
RM 8.00
RM 11.00
Saga
RM 8.00
RM 11.00
Kancil
RM 8.00
RM 10.00
Kelisa
RM 8.00
RM 10.00
Viva
RM 8.00
RM 10.00
Mini
RM 8.00
RM 10.00
Mpv & Suv
RM 10.00
RM 15.00
4 x 4
RM 10.00 – RM 20.00
(bergantung kepada kotoran)
RM 20.00 – RM 30.00
(bergantung kepada kotoran)

Menurut Encik Ahmad Tumaidi, anggaran pendapatan perniagaan perkhidmatan pencucian kereta ini dalam lingkungan RM 500.00 – RM 2,500.00 satu hari. Selama setahun beliau mengusahakan perniagaan dari segi perkhidmatan tersebut, alhamdulillah kerana sambutan yang diterima oleh pelanggan di sekitar Bandar Jerantut amat baik. Perniagaan tersebut dibuka pada setiap hari Selasa hingga hari Ahad dan ditutup pada hari Isnin dari jam 10.00 pagi sehingga jam 8.00 malam.


Pengurusan Operasi - Carta Aliran Operasi


Lokasi Perniagaan

Antara kawasan berhampiran pusat pencucian kereta AACWSC ialah:-
  • Bandar Inderapura – 0.3 km
  • Bandar Lama Jerantut – 5 km
  • Bandar Jerantut Feri – 7 km
  • Bandar Temin – 5 km

AACWSC terletak di tengah-tengah kawasan bandar Jerantut dan ia terletak bersebelahan bangunan Bank Rakyat Cawangan Jerantut. Ia dikelilingi oleh kawasan perumahan, restoran, bengkel kereta, kedai jualan kenderaan Proton, kedai serbaneka, sekolah, bank dan bangunan pusat AACWSC mudah di akses dari jalan utama.

Menurut En. Ahmad Tumaidi, antara sebab beliau memilih Jerantut sebagai pusat pencucian kereta adalah kerana kawasan berkenaan adalah strategik dari jalan utama yang kedua atau jalan alternatif ke Temerloh dan Kuala Lipis. Kebiasaannya, semasa waktu puncak iaitu pada waktu rehat, mereka akan melalui hadapan AACWSC untuk makan tengah hari dan petang di mana orang ramai akan melalui kawasan berkenaan untuk pulang dari kerja. Ini akan menarik minat pelanggan untuk memberhentikan kenderaan untuk dicuci kerana pusat pencucian kereta ini dikelilingi oleh kawasan yang sedang membangun dan pengguna jalan raya menggunakan jalan tersebut sepenuhnya untuk pergi ke Bank atau ke tempat yang lain. Oleh itu, apabila pengguna menggunakan jalan raya, mereka akan mencari pusat mencuci kereta AACWSC terlebih dahulu kerana ia berhampiran empat persimpangan.

Antara sebab lain En. Ahmad Tumaidi memilih kawasan Jerantut sebagai pusat perkhidmatan utama adalah kerana penduduk di sini meningkat sebanyak 5% setiap tahun. Ini bermakna semakin ramai penduduk, lebih banyak kereta akan digunakan. En. Ahmad Tumaidi telah membuat kajian dan dari pandangan beliau, setiap rumah di kawasan perumahan Jerantut, terdiri 2 kereta minimum dan 4 kereta maksimum. Selain itu juga, keadaan ekonomi di Jerantut adalah stabil dan konsisten di mana hampir 10% daripada Penduduk Jerantut  terdiri daripada orang luar seperti dari Kelantan, Terengganu dan lain-lain bandar. Sebahagian daripada mereka tinggal di Jerantut kerana kerja dan sebahagian daripada mereka hanya untuk membeli harta atau membuat perniagaan.


Kelebihan

Kelebihan yang dimiliki oleh AACWSC adalah dari segi kemudahan dan keperluan barang yang mencukupi, senang diperoleh dan berkualiti. AACWSC juga menyediakan perkhidmatan yang terbaik di samping lokasi yang mudah kelihatan oleh pelanggan. AACWSC juga mempunyai pekerja yang berpengalaman dan berkebolehan dalam perkhidmatan yang diberi disamping masa menunggu yang singkat.

Pihak AACWSC memberikan keselesaan tempat menunggu bagi pelanggan yang menunggu kereta mereka dibasuh dengan majalah, surat khabar, kipas angin, televisyen dan kerusi. Selain itu kecepatan dan kualiti pencucian kereta dijamin mampu memberi kepuasan kepada pelanggan.

Selain daripada itu, AACWSC juga ada membuat promosi percuma sekiranya pelanggan tersebut mencuci kereta di AACWSC untuk kali ke 6. Pelanggan akan diberikan kupon percuma membasuh kereta dalam tempoh sebulan untuk basuhan luar yang biasanya diberi harga RM 8.00 sebuah. Dengan itu, pelanggan akan mewar-warkan kepada orang lain melalui percakapan dan sms kepada kawan-kawan mereka. Pemasaran dari mulut ke mulut adalah sangat berkesan kerana ramai pelanggan akan datang ke AACWSC.


Cabaran / Halangan

En. Ahmad Tumaidi tidak menafikan bahawa harga dari pesaing yang lebih murah berbanding dengan pusat pencucian kereta beliau. Menurut En. Ahmad Tumaidi cabaran dan halangan yang dihadapi oleh beliau adalah dari segi harga yang agak tinggi sedikit dari pesaing mereka kerana kualiti penggunaan produk yang di tawarkan dan digunakan adalah lebih berkualiti. Kos operasi juga agak tinggi bagi kegunaan peralatan mencuci kereta.

Seterusnya berkemungkinan ada syarikat baru lain yang akan di buka di kawasan kami pada masa akan datang dan ini akan memberi impak kepada perniagaan perkhidmatan pencucian kereta kami. Selain itu, dalam kejatuhan ekonomi juga memberi impak kepada perniagaan kami dimana pelanggan mungkin mengambil inisiatif untuk membasuh kereta mereka dengan sendiri bagi mengurangkan kos sara hidup pada masa kini.

Selain itu, antara masalah lain yang dihadapi oleh AACWSC adalah pekerja bergerak dari kawasan ke kawasan bergantung kepada keperluan yang akan menimbulkan syak kepada penyelia bahawa pekerja tidak menyelesaikan tugasnya dengan betul. Ia tidak berkesan untuk meminta pekerja untuk melakukan beberapa kerja apabila kerja sekarang masih belum selesai. Kami perlu memastikan pekerja cepat dan sempurna dalam melakukan tugasan yang di berikan.

Pihak AACWSC juga dari semasa ke semasa dalam proses membuat penambahan  keselesaan tempat menunggu bagi pelanggan yang menunggu kereta mereka sementara dibasuh. Pihak AACWSC dalam usaha mengumpul modal untuk memperbaiki fasiliti AACWSC dan mungkin akan mengambil masa dalam beberapa bulan.

Kadang kala kenderaan pelanggan menunggu lama dalam barisan untuk dicuci. Ini berlaku semasa cuti sekolah atau musim perayaan, banyak pelanggan akan datang ke AACWSC untuk mencuci kenderaan. Pihak AACWSC bimbang sekiranya pelnggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi oleh AACWSC. Akibatnya, AACWSC akan mempunyai persepsi yang negatif dalam melakukan pekerjaan dan akan kehilangan  pelanggan pada masa akan datang.


Hala Tuju Masa Depan

AACWSC memberi peluang pekerjaan kepada penganggur di sekitar Jerantut. AACWSC dalam cadangan untuk membuat rangkaian pusat pencucian kereta yang kukuh dengan penganjur utama pameran kereta dan menaja acara di dalam usaha untuk mempelbagaikan pasaran.

AACWSC ada cuba mencapai Misi pada masa hadapan dengan :-


1.                Mempertingkatkan mutu dan kualiti penggunaan alat mencuci kereta.
2.               Mengekalkan margin keuntungan kasar yang tinggi.
3.               Memastikan untung bersih meningkat.
4.               Membuka lokasi baru selepas tiga tahun beroperasi.
5.               Menambah pekerja yang berpengalaman.


Kesimpulan

Kesimpulannya saya memberikan pendapat bahawa untuk menjadi usahawan yang berjaya memerlukan tindakan yang agresif dalam segala tingkah dalam dunia perniagaan.

Bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan tetapi bukan sukar untuk menjadi seorang usahawan, di mana ada kemahuan disitu ada jalan. Seorang usahawan perlu mempunyai inisiatif yang tinggi, berani mengambil risiko, kreatif, inovatif, sanggup bekorban, sentiasa mencari dan merebut peluang perniagaan dan mempunyai keyakinan diri serta berorentasikan matlamat dan wawasan untuk masa hadapan.

Selok belok dalam perniagaan haruslah diteliti terlebih dahulu seperti Encik Ahmad Tumaidi dan Encik Mohamad Firdaus, mereka mengkaji dahulu sebelum membuka pusat pencucian kereta AACWSC.

Akhir sekali, berkunjunglah ke AACWSC kerana pusat pencucian kereta berkenaan menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan pelanggan dijamin berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi.